Cerita Family

Cross Stitch

Assalamualaikum.

Lama dah nak menulis tentang cross stitch ni. Dari tahun ke tahun, baru dapat menulis tentangnya 😓. Ingat balik pasal cross stitch, sebab terjumpa kain ni semasa mengemas stor hari tu.

Saya buat cross stitch tu dah lama, 15 tahun yang lalu. Masa tu saya baru melahirkan anak. Kerana komplikasi yang teruk semasa melahirkan, anak saya tidak dapat diselamatkan dan saya terpaksa berkampung di hospital lebih dari 10 hari.

Kenapa cross stitch? Bila berpantang tanpa baby, ianya akan menjadi suatu yang menyakitkan. Masa tu, saya tidak dapat fokus pada hampir semua perkara. Dibawakan bermacam-macam buku semasa berada di hospital lagi, satu pun saya tak boleh baca.

Ada kawan bawakan cd (macam-macam cerita), satu pun saya tak boleh tengok. Kalau on vcd pun, saya tak boleh fokus. Dalam erti kata lain, satu benda pun saya tak boleh fokus.

Akhirnya biras saya mencadangkan untuk membuat cross stitch. Dapatlah juga memberikan tumpuan dengan mengira kotak dan menyilang benang. Tiap-tiap hari saya kira kotak. Kira dan kira lagi. Pilih benang dan tukar benang. Gigih saya buat cross stitch tu. Hasilnya? Seperti yang dilihat pada gambar.

Sayangnya, tak siap lagi kerana saya sudah mula sibuk bila sudah tamat cuti bersalin. Terus terlupa tentang cross stitch tu. Akhirnya tersimpan di dalam kotak di stor. Ni pun baru terjumpa balik.

Kalau anak saya ada lagi, hari ni genap usianya 15 tahun. 31 Mac 2006 – 31 Mac 2021. Mana mungkin saya lupakan tarikh ini.

Happy Birthday Adli.

Dan cross stitch ini saya akan simpan sebagai kenangan. Dia jugalah yang menjadi saksi tentang apa yang telah saya lalui pada masa itu dan Allah juga yang Maha Tahu.

Sekian. Wassalam.

Leave a Reply